Pincer monyet

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Affenpinscher)
Pincer monyet
Imej pincer monyet
Seekor pincer monyet hitam
Negara asalJerman
Trait
Berat 4–6 kg (10–15 lb)
Tinggi 25–30 cm (10–12 in)
Bulu berbulu dawai
Warna hitam
Jangka hayat 11–14 tahun
Anjing (Canis lupus familiaris)

Pincer monyet atau affenpinscher[a] ialah satu baka anjing mainan kecil Jerman daripada jenis pincer.[1]:30 Pincer monyet, yang pada asalnya dikembangkan sebagai anjing pemburu tikus, kini lazimnya terdapat sebagai pendamping di seluruh dunia.[2]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Seekor pincer monyet, sekitar tahun 1915

Perkataan Affenpinscher diterbitkan daripada Affe, bahasa Jerman untuk "beruk" atau "monyet"; ia kadang-kadang diterjemahkan sebagai "terier monyet", walaupun anjing ini merupakan pincer dan bukan terier.[1]:30[3]

Asal usul kumpulan anjing pincer tidak diketahui.[4] Anjing jenis ini, kedua-dua berbulu kasar dan berbulu licin, secara tradisional dibela sebagai anjing pedati atau sebagai anjing kandang kuda, dan kadang-kadang dikenali sebagai Stallpinscher ("pincer kandang kuda"); ia merupakan anjing pemburu tikus berkemampuan.[4] Sehingga lewat abad kesembilan belas, kedua-dua jenis berbulu kasar dan berbulu licin dikenali sebagai deutscher Pinscher ("pincer Jerman") dan berasal daripada zuriat sama; anak-anak anjing kedua-dua jenis boleh hadir dalam perinduk sama.[4]

Pada tahun 1880, pincer dicatatkan dalam Deutschen Hundestammbuch ("Buku Pembaka Anjing Jerman") bagi Verein zur Veredelung der Hunderassen.[5] Pada tahun 1895, Ludwig Beckmann [de] memerihalkan lima keragaman pincer – pincer berbulu kasar dan berbulu licin, pincer katik berbulu kasar dan berbulu licin, dan pincer monyet.[4][6]:152 Pada tahun 1895, sebuah persatuan baka, iaitu Pinscher-Schnauzer-Klub, ditubuhkan untuk kedua-dua jenis, kedua-dua berbulu kasar dan berbulu licin.[5]

Anjing jenis pincer monyet telah dikenali sejak kira-kira tahun 1600.[2] Pada asalnya terdapat dua saiz, saiz lebih besar kini pupus.[1]:30 Saiz lebih besar adalah hampir-hampir setinggi 30–33 sentimeter (12–13 in) dan terdapat dalam warna kelabu, perang kekuning-kuningan, hitam, sawo matang, dan merah.[2] Kaki dan dada putih juga umum.[2] Baka ini dihasilkan untuk menjadi anjing pemburu tikus di rumah yang bekerja untuk menghapuskan tikus dari dapur dan juga jelapang dan kandang kuda.[7] Pembiak baka awal menyilangkan pelbagai schnauzer dan pincer dengan matlamat untuk menghasilkan anjing pemburu mencit yang juga merupakan anjing pendamping bagus.[2] Sesetengah baka yang mungkin telah disertakan untuk menghasilkan pincer monyet merupakan pug, pincer Jerman, schnauzer, dan pincer sutera.[2]

Baka ini hadir lebih awal dan merupakan leluhur kepada grifon Brussel dan schnauzer kerdil yang disangkakan sebagai silangan antara pincer monyet dengan schnauzer sederhana sebagai tambahan kepada baka-baka lain.[8][1]:30 Baka ini diiktiraf oleh AKC pada tahun 1935 dan FCI pada tahun 1955.[9][10][11][12][13]

Seekor affenpinscher yang dipamerkan dalam pertunjukan anjing

Banana Joe V Tani Kazari, juga dikenali sebagai Joe, seekor pincer monyet berusia lima tahun, dinobatkan sebagai Best in Show dalam Pertunjukan Anjing Westminster Kennel Club tahun 2013 di Bandar Raya New York.[14]

Perihal[sunting | sunting sumber]

Potret pincer monyet

Penampilan[sunting | sunting sumber]

Affenpinscher pada umumnya mempunyai berat empat–enam kilogram (9–13 lb) dan berdiri setinggi 25–30 cm (10–12 in) pada paras kelasa.[10][11][12][13] Ia mempunyai lapis bulu kasar apabila tidak dipangkas, tetapi jika dipangkas, lapis bulunya dapat menjadi lebih lembut dan lebih gebu. Ia mempunyai wajah mirip monyet yang ketara (Affe ialah perkataan bahasa Jerman untuk "monyet"). Lapis bulunya lebih berjumbai di atas kepala dan bahu yang membentuk surai, dengan lapis bulu lebih pendek di atas belakang dan di sukuan belakang. Teksturnya kasar dan mirip dawai apabila dijaga dengan betul. Piawaian baka FCI dan The Kennel Club British menyatakan bahawa lapis bulunya mesti berwarna hitam,[10][11][15] tetapi American Kennel Club juga mengizinkan kelabu, perak, merah, hitam dan sawo matang, serta kuning air (campuran bulu merah, perang, hitam, dan putih).[16]

Perangai[sunting | sunting sumber]

Pincer monyet mempunyai rupa tersendiri yang dikaitkan dengan terier. Walau bagaimanapun, ia sebahagian daripada "Kumpulan 2, Seksyen 1: Pincer dan Schnauzer" dalam pengelasan FCI dan bukan dalam kumpulan terier.[17] Ia aktif, suka mengembara, ingin tahu, dan degil, tetapi ia juga suka berseronok dan bermain. Baka ini yakin, bersemangat, penyayang terhadap ahli keluarga, dan juga sangat kuat melindungi mereka.[1]:30

Affenpinscher agak teritorial dalam soal mainan dan makanannya, jadi ia tidak disyorkan untuk rumah yang mempunyai kanak-kanak sangat kecil. Anjing ini kebanyakannya pendiam, tetapi ia dapat menjadi sangat teruja jika diserang atau diancam dan tidak menunjukkan ketakutan terhadap sebarang penceroboh.[18]

Kesihatan[sunting | sunting sumber]

Sebuah kajian United Kingdom mendapati jangka hayat sebanyak 9.3 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[19]

Pincer monyet terdedah kepada displasia pinggul.[20] Seperti banyak baka anjing kecil, ia terdedah kepada tenggorokan runtuh dan tempurung lutut terkehel.[21] Sesetengah anjing terdedah kepada retakan, PDA, fontanel terbuka, dan masalah pernafasan dalam cuaca panas. Keadaan mata seperti katarak kadang-kadang dilaporkan.[22] Kebimbangan yang menjadi-jadi ialah siringomielia, walaupun kejadiannya pada masa ini belum diketahui.[23]

Affenpinscher betina lebih terdedah kepada alopesia lambung bermusim, yang kelihatannya menjejaskannya semasa musim sejuk.[24]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: ڤينچر موڽيت; افنڤينچر, Sebutan bahasa Melayu: [afənpint͡ʃər]; Jerman: Affenpinscher, bahasa Jerman: [ˈafn̩ˌpɪnʃɐ]  ( dengar)

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d e David Alderton (1984). The Dog: The Most Complete, Illustrated, Practical Guide to Dogs and Their World (Inggeris). London, United Kingdom: Quill Publishing Limited; Secaucus, New Jersey: Chartwell Books. ISBN 0890097860.
  2. ^ a b c d e f "Breed History - Affenpinscher Club of America". Affenpinscher Club of America (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 8 Januari 2024.
  3. ^ "FCI breeds nomenclature: Affenpinscher (186)". Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 8 Januari 2024.
  4. ^ a b c d Christel Simantke (2003). Die Gefährdete Nutztierrasse des Jahres 2003: Gefährdete Haus- und Hofhunde: Von Spitzen und Pinschern (Jerman). Witzenhausen, Jerman: Gesellschaft zur Erhaltung alter und gefährdeter Haustierrassen. Diarkibkan pada 6 Jun 2012.
  5. ^ a b Rasseportrait: Deutscher Pinscher (Jerman). Remscheid, Jerman: Pinscher-Schnauzer-Klub 1895 e.V. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  6. ^ Ludwig Beckmann (1894–1895). Geschichte und Beschreibung der Rassen des Hundes (jilid II) (Jerman). Braunschweig, Jerman: Druck und Verlag von Friedrich Bieweg und Sohn.
  7. ^ "Origin and History of Affenpinscher Dogs" (dalam bahasa Inggeris). Doglime. 3 Mac 2019.
  8. ^ Affenpinscher Club of America: Breed History (Inggeris). Dicapai pada 8 Januari 2024. Diarkibkan 3 April 2007 di Wayback Machine
  9. ^ "History of Affens in the US - Affenpinscher Club of America". Affenpinscher Club of America (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 17 Januari 2024.
  10. ^ a b c "FCI - Standard Nr.186 / AFFENPINSCHER" [Piawaian FCI No. 186 Pincer Monyet] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Jerman). 2 September 2009. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  11. ^ a b c "FCI-Standard N° 186 AFFENPINSCHER" [Piawaian FCI No. 186 Pincer Monyet] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh C. Seidler. 2 September 2009. Dicapai pada 8 Januari 2024.CS1 maint: others (link)
  12. ^ a b "Australian National Kennel Council - Affenpinscher". Australian National Kennel Council (dalam bahasa Inggeris). 9 September 2009. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 Mac 2011. Dicapai pada 8 Januari 2024. Height: 24-28 cm (9.5 -11 in) Weight: 3-4 kg (6.5-9 lb).
  13. ^ a b "United Kennel Club: Affenpinscher". United Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). 15 April 2007. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Jun 2011. Dicapai pada 8 Januari 2024. The acceptable height range, for both sexes, is between 9 and 11 inches. Weight ranges from 8 to 13 pounds.
  14. ^ "Affenpinscher wins Best in Show at Westminster dog show" (Inggeris). Kelly Whiteside, USA Today Sports. Dicapai pada 17 Januari 2024.
  15. ^ The Kennel Club (UK) breed standard (Inggeris) Diarkibkan 9 November 2006 di Wayback Machine. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  16. ^ AKC breed standard (Inggeris). Dicapai pada 8 Januari 2024.
  17. ^ "Group 2 : Pinscher and Schnauzer - Molossoid and Swiss Mountain and Cattledogs" (dalam bahasa Inggeris). Persekutuan Kinologi Antarabangsa. Dicapai pada 17 Januari 2024.
  18. ^ "Personality" (dalam bahasa Inggeris). Affenpinscher Club of America. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Disember 2013. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  19. ^ McMillan, Kirsten M.; Bielby, Jon; Williams, Carys L.; Upjohn, Melissa M.; Casey, Rachel A.; Christley, Robert M. (1 Februari 2024). "Longevity of companion dog breeds: those at risk from early death". Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). Springer Science and Business Media LLC. 14 (1). doi:10.1038/s41598-023-50458-w. ISSN 2045-2322. PMC 10834484 Check |pmc= value (bantuan).
  20. ^ Canine Inherited Disorders Database (Inggeris), Universiti Pulau Putera Edward. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  21. ^ The Affenpinscher Club UK (Inggeris)
  22. ^ Alex Gough, Alison Thomas (2004). Breed Predispositions to Disease in Dogs and Cats (Inggeris). Oxford, Amerika Syarikat: Blackwell Publishing. ISBN 9781405107488.
  23. ^ Veterinary Canine Health Scheme: Syringomyelia Scheme|Vetsforum (Inggeris) Diarkibkan 21 Februari 2014 di Wayback Machine
  24. ^ Waldman. (1995). Seasonal flank alopecia in affenpinschers (Inggeris). The Journal of Small Animal Practice., 36(6), 271–273. https://doi.org/10.1111/j.1748-5827.1995.tb02915.x