Jump to content

User:Zabinis

From Wikipedia, the free encyclopedia

Zabidin Haji Ismail dilahirkan pada 13 Januari 1956 di Kg. Batu Masjid, Temoh, Perak Darul Ridzuan adalah seorang penulis, penceramah penulisan, pembentang kertas kerja, penyelidik sastera / sejarah tempatan serta penggerak persuratan Melayu Perak di samping pengkaji masyarakat Melayu Rao. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Batu Masjid, Temoh (1963-1968), Lower Secondary School, Tapah (1969-1972) dan GEES, Tapah (1973-1974). Mula bekerja sebagai Pegawai Kerani di Jabatan Hasil Dalam Negeri, Jalan Duta, Kuala Lumpur selama empat tahun kemudian memasuki Jabatan Penerangan Malaysia sebagai Pegawai luar Penerangan. Pernah bertugas di Parit, Sitiawan dan Teluk Intan. Ketika di Parit Perak beliau aktif dalam Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Perak Tengah (PESEDAR)(1982), semasa bertugas di Sitiawan pula beliau sempat menubuhkan Grupemuisi Sitiawan dan Persatuan Penulis Daerah Manjung (PEDOMAN) bersama-sama Mokhtar Mimi (1986). Apabila berpindah ke Teluk Intan beliau aktif dan menjadi AJK Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Hilir Perak (PENTAS). Kemudian pada tahun 1992 bersama-sama Mokhtar Mansor, Abu Bakar Sidik, Mustafa Mat Ani, M Saleh Mahyat, Idris Noor, Mohd Khairi Karim mengasaskan Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk). Tetapi beliau mula aktif dalam badan penulis di Perak pada tahun 1977 ketika menyertai Persatuan Penulis Daerah Batang Padang (PEDANG) bersama-sama Abdul Manaf Malik, Harun Bakar, Hazali Ramli, M Ali Said.

Beliau telah menghasilkan beberapa buah buku; antaranya Pasir Salak Bumi Pahlawan Melayu (1993-Yayasan Perak); Di Pelabuhan Senja (1993-DBP); Ridzuan 1 (1994), Menara Condong (1994); Mokhtar Dahari Wira Bolasepak Negara (1999-DBP); Memoir Dato’ Shaharudin Abdul Rahman; Heiho Jepun (2003); Batu Masjid Permata Kami Setelah Seabad Berlalu (2007-PIBG SK Bt Masjid, Temoh); Sekondakhati (2009); Puisi Rao Nusantara (2009); Pemikiran Politik dalam Novel-novel Ahmad Boestamam (Universiti Malaya-2010); Imbasan Sejarah Karyawan Pk dan Kaedah Mokhdar: satu himpunan kenangan (2010), Timoh Tasik Kenangan (2010); Biografi Tokoh Rao (2012), Menara Condong Teluk Intan (2013), SuperMokh (2013), 30 Tokoh Tersohor Perak (2013), Kita Serupa/We Are Alike (2013), Masyarakat Rao di Malaysia Analisis Tentang Sosiobudaya (2013, Tanah Seribu (2015), Pantang Tanah dan Adat Berjojak dalam Masyarakat Rao di Malaysia (2015) dan sudah menulis hampir empat dekad dan memenangi beberapa anugerah penulisan, termasuk Anugerah Sasterawan Perak dalam kategori Esei dan Kritikan pada tahun 2004 daripada Kerajaan Negeri Perak.

Beliau menulis pelbagai genre termasuk puisi, cerpen, esei, memoir, biografi dan akademik. Pernah menjadi penulis udangan akhbar tabloid Bacaria terbitan Kumpulan Karangkraf dalam ruangan “Angin Dari Utara” (1986) dan ruangan “Tokoh Anak Perak” dalam akhbar rasmi Kerajaan Negeri Perak; Buletin Mesra (1996-2000) serta Pengarang buletin KemPen.My lidah rasmi Kementerian Penerangan Malaysia (2002-2005) dan Ketua Pengarang Lidah Rasmi Persatuan Jalinan Rao Malaysia (JARO) iaitu Rao Berandai.

Dalam arena penulisan, beliau banyak menggunakan nama pena. Antaranya, Biedyn Wan FH., S.I. Wanza, Zabinis BM., Zais Wahid, Burhanudin Al-Rawi, M Zaki Arif dan Jari Basurek. Beliau turut aktif mengendalikan beberapa buah blog seperti Sekondakhati, TokohRao, PenulisPerak, KaryawanPk, Penyuluh916, JapenPk., Bukitgantang59 , Panglima Awang.dan Kayacipta.

Di samping aktif menulis beliau adalah Presiden Persatuan Karyawan Perak [Karyawan Pk] (1992-kini), Naib YDP4 Persatuan Jalinan Rao Malaysia (JARO)(2008-kini) dan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (2008-2015), Yang DiPertua Kelab Kebajikan dan Sukan Jabatan Penerangan Perak (2006-2010), Naib Yang DiPertua 1 Majlis Kebudayaan Negeri Perak (2006-kini) dan Yang Dipertua Persatuan Bekas Murid Sekolah Kebangsaan Kg. Batu Masjid, Temoh (PENYULUH) (2010-kini).

Kelayakan akademik – Diploma Pentadbiran Awam (UiTM); Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Komunikasi dan Sains Politik (UKM); Sarjana Sastera (UM) dan pada 23 Oktober 2013 beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan (Doctor of Literature) (Litt.D) oleh World Academy of Arts and Culture (WAAC), California, Amerika Syarikat sempena Kerajaan Perak menjadi tuan rumah Kongress Penyair Dunia ke-33 di Ipoh. Ijazah tersebut disampaikan sendiri oleh Presiden WAAC, Dr Maurus Young dan disaksikan kira-kira 200 orang penyair dari 30 buah negara di dunia termasuk Malaysia. Pada 13 Disember 2014 beliau menerima "Anugerah Pejuang Sastera Darul Ridzuan" daripada Kerajaan Negeri Perak yang disampaikan oleh Dato Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Perak sempena majlis penyampaian Hadiah Sastera Darul Ridzuan ke-4. Pada 29 Oktober 2015 beliau dianugerahkan Tokoh Seni Budaya Negeri Perak daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Perak atas ketokohannya memimpin badan penulis dan sastera, aktif menulis (sehingga kini 30 buku pelbagai genre) serta pembabitan serius dalam program seni dan budaya di negeri tersebut.

Pada tahun 2004 beliau menjadi tetamu khas Kerajaan Arab Saudi bagi mengerjakan haji serta mewakili Kementerian Penerangan Malaysia menyelaraskan liputan media antarabangsa musim haji di Jeddah, Madinah, Makkah, Arafah dan Mina.

Beliau telah dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK-1996) dan darjah Ahli Mangku Perak (AMP-2008) oleh Sultan Perak serta darjah Ahli Mangku Negara (AMN-2008) oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Pernah bertugas sebagai Penolong Pengarah Perhubungan Awam Kementerian Penerangan di Angkasapuri, Kuala Lumpur, Timbalan Pengarah Penerangan Perak dan Ketua Editor Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia, Putrajaya.